Keledek merupakan sejenis tumbuhan melata yang sering
dijadikan bahan tambahan sama ada ketika membuat kuih, pengat atau hidangan
lauk. Rasa lemak dan manisnya membuatkan ianya mempunyai pengikut yang
tersendiri.
Dikatakan, tumbuhan ini berasal dari Amerika Tengah dan
bahagian utara Amerika Selatan. Pada masa ini, keledek mempunyai taburan yang
sangat luas di semua kawasan tropika, subtropika serta di kawasan yang bercuaca
panas.
Untuk menanam keledek hanya gunakan keratan ranting dan
tanam di atas batas. Lazimnya di asia tenggara keledek memerlukan
sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan selepas di tanam sebelum ubinya
dituai. Bagi keledek yang kerap dipetik pucuk serta daunnya, masa yang
diperlukan lebih panjang untuk menghasilkan ubi. Malah, hasil ubi akan
berkurangan di samping saiz yang lebih kecil sekiranya pucuk dan daunnya
dipetik terlalu kerap.
Khasiat Makanan
Ubi keledek sesuai digoreng , dipanggang, dibakar, direbus,
dikukus, kuih muih, dimasak lemak dan macam-macam lagi. Malah, ubi keledek juga
sering digunakan sebagai bahan pemekat sos. Sementara pucuk dan daunnya pula
boleh dimasak lemak dan sebagainya.
Khasiat Ubatan
Ubinya biasa direbus dan diminum sebagai tonik kesihatan
perut, limpa, ginjal, lemah badan selain mengatasi rasa haus ketika demam
panas. Sementara itu, bagi ubi keledek yang berwarna unggu pula elok direbus
dan diminum airnya bagi merawat masalah diabetes. Kepada individu yang
menderita sakit disenteri, sangat sesuai direbus ubi keledek jenis coklat
merah.
Bahagian daunnya bolehlah ditumbuk lumat kemudian disapu
pada kulit yang melecur serta sendi-sendi yang kaku. Begitu juga bahagian
batangnya, ditumbuk kemudian diikat pada tempat yang mengalami sakit
reumatisme. Ranting ubi keledek juga sesuai dicampur bahan lain sebelum direbus
dan diminum untuk merawat masalah asma. Sementara cecair yang keluar pada ubi
pula bolehlah disapu pada bahagian kulit yang terbakar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan