Bulu mata yang lebat dan lentik menambah kecantikkan wanita.
Ia bukan sahaja menjadi titik tumpu pada wajah malah kecantikkan bulu mata
mampu menarik perhatian insan tersayang mahupun orang sekeliling. Tidak
dinafikan penggunaan mascara dapat membantu wanita memiliki bulu mata yang
lentik namun kesannya tidak lama.
Penggunaan secara kerap juga boleh menyebabkan bulu mata
gugur. Terdapat beberapa cara semulajadi yang dapat membantu wanita untuk
merealisasikan impian ini. Bukan sahaja bulu mata menjadi lentik malah
penggunaan ini membantu melebatkan dan memelihara kecantikkan mata.
Tangkai Daun Sirih & Lendir Lidah Buaya
Siapa sangka, lendir lidah buaya bukan sahaja boleh
dijadikan masker malah ia juga amat efektif untuk merawat bulu mata. Khasiat
yang terkandung dalam lidah buaya atau aloe vera dikatakan dapat membantu
melebat dan melentikkan bulu mata. Caranya mudah sahaja, bersihkan tangkai daun
sirih, kemudian celup tangkai ini pada lendir lidah buaya.
Elakkan terkena kulit lidah buaya kerana ia mungkin
menyebabkan alahan atau gatal-gatal terutama pada golongan yang mempunyai kulit
sensitif.
Sapukan lendir lidah buaya pada seluruh bulu mata. Amalkan
petua ini setiap hari sehingga anda berpuas hati dengan hasilnya. Bulu mata
akan menjadi lembut, lentik dan menawan.
Potong Bulu Mata
Ada juga golongan yang memotong bulu mata separuh dalam
usaha melebat dan melembutkannya. Tapi ingat jangan terlalu pendek kerana
fungsi bulu mata menahan debu masuk ke mata. Pun begitu, untuk melakukan
pemotongan ini, pastikan anda mendapat khidmat mereka yang pakar kerana
kesilapan boleh mencederakan mata.
Minyak Zaitun
Minyak zaitun kaya dengan pelbagai khasiat untuk menjaga
kecantikkan. Minyak zaitun juga dikatakan mujarab untuk merawat bulu mata yang
bermasalah agar kembali sihat serta cantik.
Caranya, oles minyak zaitun pada bulu mata dengan cara
melengkung ke atas sebelum tidur. Sebaik saja bangun pagi, cuci bulu mata
sehingga bersih. Lakukan tips ini secara konsisten, hasilnya dapat dilihat seawal
tiga minggu. Anda pasti gembira dengan hasil yang memuaskan ini.
Buah Pelaga
Bakar buah pelaga sehingga keluar minyak, kemudian asah di
atas batu. Calitkan minyak tersebut menggunakan putik kapas. Sapu pada bahagian
bulu mata dan lakukannya setiap hari. Sebaik-baiknya amalkan petua ini sebelum
tidur malam. Minyak buah pelaga akan membantu menguatkan bulu mata di samping
melebat dan melentikkannya.
Petua yang bermanfaat sekali..terima kasih dear
BalasPadamsama-sama nila...nanti bolehlah cuba ya.
Padam