Selasa, 23 Disember 2014

7 Kelainan Bayi





Setelah lahirkan bayi ke dunia, terdapat pelbagai keanehan kepada diri si kecil ini. Ini menyebabkan para ibu terutamanya ibu baru akan berasa pelik dan tertanya-tanya punca kelainan tersebut.

Ubun-Ubun Berdenyut

Bahagian tulang tengkoraknya belum bersatu dan mengeras dengan sempurna. Ia mengambil masa kira-kira dua tahun untuk menghilangkan denyut di kepala bayi.

Tips: Bersihkan rambut dan kulit kepala bayi dengan syampu dan segera keringkan. Hindari menyentuh dan menekan kepalanya yang berdenyut-denyut itu.

Wajah Sembam

Ini berlaku kerana tekanan kuat yang dilalui ketika proses kelahiran. Selain wajah, mata bayi juga boleh kelihatan bengkak. Jangan risau kerana dalam tempoh satu hingga dua hari, bengkak di wajahnya akan hilang.

Tips: Hindari posisi tidur telungkup untuk mengurangi tekanan pada wajah bayi. Jika ada benjol atau bekas tekanan alat forsep pada kepala, elakkan menyentuh bahagian tersebut hingga bengkaknya hilang. Temui doctor jika tiada perubahan setelah sebulan.

Berbulu

Rambut janin belum luruh sepenuhnya. Selain bulu halus, bayi perempuan juga sering kelihatan berambut pada bahu dan belakangnya. Dalam beberapa minggu, kulit bayi akan bersih dari rambut halus tersebut.

Tips: Mandikan bayi untuk menjaga kebersihan dan kesihatan kulitnya. Tidak perlu mencukurnya kerana rambut tersebut akan gugur dengan sendirinya.

Alat Kelamin Bengkak

Hormon ibu mempengaruhi perkembangan organ seksual. Kantung buah zakar bayi lelaki atau bibir luar kemaluan bayi perempuan yang kelihatan besar ini akan kelihatan normal sekitar seminggu.

Tips: Bersihkan alat kelaminnya setiap kali mandi, kemudian keringkan secara perlahan dan lembut. Jika menggunakan lampin pakai buang, ganti segera setelah penuh.

Payudara Besar

Ia akibat pengaruh kadar hormon estrogen ibu. Payudara akan mengempis dalam beberapa hari atau minggu.

Tips: Jangan memicit payudara bayi kerana hanya akan menimbulkan rasa tidak selesa.

Kulit Berlemak

Terdapat lapisan lemak yang melindungi kulit bayi sejak dalam Rahim lagi. Lapisan ini akan mengelupas dalam masa beberapa hari.

Tips: Bersihkan kulit bayi dengan air suam dan sabun khusus untuk bayi. Jangan menggosok kulit bayi dengan kuat. Jika perlu, bersihkan perlahan dengan kapas dan minyak bayi.

Kaki, Tangan Pucat Dan Sejuk

Sistem peredaran darah belum berkembang sepenuhnya untuk mengalirkan darah ke organ-organ tubuh yang penting seperti otak, paru-paru dan jantung. Tangan dan kaki adalah organ tubuh yang paling akhir dialiri darah. Keadaan ini berakhir dengan sendirinya secara bertahap sehingga usia bayi berusia satu tahun.

Tips: Susui bayi untuk menghangatkan tubuhnya. Sarungkan stoking kaki dan sarung tangan khusus untuk bayi atau selimutkan bayi sehingga tangan dan kakinya terasa hangat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan