Sabtu, 20 Disember 2014

Daun Saderi Yang Penuh Dengan Khasiat





Bau daun saderi cukup harum apabila dicampurkan bersama dengan sup panas. Tidak kurang juga dengan rasanya yang enak. Dikatakan daun ini tumbuh liar di kawasan paya beriklim sederhana di benua Eropah dan Asia. Sementara di kawasan tropika, ia di tanam di kawasan tanah tinggi bertanah pamah.

Di Malaysia, daun ini lebih di kenali sebagai daun sup. Mempunyai tangkai yang tirus dan panjang, warna daun ini lazimnya mengikut jenis baka dan usia.

Khasiat Makanan

Daun saderi biasanya digunakan untuk memasak sup atau salad. Daun saderi mentah sering dijadikan sebagai penambah perisa sama ada untuk di tabur di atas nasi goreng atau dicampurkan ke dalam telur dadar. Walau bagaimana, ada juga yang rajin untuk mengeringkan daun tersebut sebelum dimasukkan ke dalam masakan. Sementara itu, tangkai saderi pula mempunyai peminatnya yang tersendiri. Biasanya, bahagian tangkai ini akan dikisar kemudiannya diminum jus tersebut.

Khasiat Perubatan

Dipercayai, seluruh bahagian daun saderi boleh direbus lalu diminum airnya bagi merawat masalah demam denggi, tekanan darah tinggi, kekejangan otot dan reumatisme (sakit sendi). Selain itu, seikat saderi yang direbus kemudian diminum airnya dapat mengatasi masalah angi dalam perut dan sakit perut.

Saderi juga boleh dipotong kecil-kecil sebelum dituang ke dalam air mendidih, ditambah sedikit gula untuk mendapatkan rasa yang manis. Selepas itu bolehlah diminum satu sudu besar dengan kekerapan tiga kali sehari bagi merangsang pembuangan air kecil seterusnya melancarkan perjalanan darah haid. Cara seterusnya adalah dengan merebus daun saderi yang dicampurkan dengan sedikit susu kemudian diminum sewaktu perut masih kosong. Tujuannya adalah untuk merawat batuk, asma sekali gus menghilangkan kahak dalam paru-paru. Sementara saderi yang dimakan mentah pula dipercayai berupaya merangsang aktiviti sistem saraf.

Teh Biji Saderi (diminum) Atau Pil Biji Saderi (ditelan)

Kedua-dua jenis saderi ini dikatakan mampu menjadi penawar bagi penyakit reumatisme, artritis, membantu ginjal mengeluarkan bahan sisa dari tubuh dan mengatasi pelbagai masalah kulit. Di samping itu, ia juga membantu menyelesaikan derita yang ditanggung oleh pesakit-pesakit gout dengan cara mengeluarkan lebihan asid urik pada sendi melalui ginjal (buah pinggang). Biji saderi turut digunakan sebagai ubat untuk mengatasi jangkitan pada pundi-pundi kencing.

Daun Saderi

Perahan air daun saderi segar sesuai diminum bagi merawat masalah demam panas, busung, demam kuning dan bengkak hati sementara akarnya pula sesuai direbus dan diminum bagi mengubati penyakit gout, artritis sekali gus mendatangkan kebaikkan pada sistem saraf. Sebaiknya ambil air rebusan akar ini selepas bersarapan untuk tujuan melancarkan penghadaman.

Kegunaan Lain

Biasanya minyak biji saderi digunakan dalam industry pemprosesan minyak wangi yang mana ia dijadikan sebagai bahan penetap bau (menjadikan bau tahan lebih lama). Ia juga sesuai dijadikan sebagai perisa di dalam garam. Walaupun terdapat banyak manfaat dari biji saderi namun ia tidak boleh digunakan oleh ibu-ibu yang hamil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan