Khamis, 25 Disember 2014

Petai Bau Busuk Tapi Berkhasiat





Ramai yang gemar menjadikan petai sebagai penyedap makanan. Walaupun sedikit berbau namun rasanya tetap ‘menyengat’. Buah jenis kekacang, leper dan berbentuk biji jelas kelihatan pada kulit buah yang berwarna hijau ini.

Di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Semenanjung Thailand, petai merupakan tumbuhan asli. Biasanya petai ditanam menggunakan biji yang mana pokoknya kemudian akan mengeluarkan bunga ketika berusia lima tahun. Dalam tempoh 60 hingga 70 hari, buah petai mulai masak selepas ia berbunga. Oleh itu gangguan serangga yang gemar menebuk batang pokok petai, ia mudah rosak. Malah, daun petai juga mudah dimakan serangga sekalupun berada di tempat yang tinggi.

Hidangan Enak

Biji petai yang muda atau tua boleh dimakan mentah, digoreng, dipanggang, dibakar dan dibuat sambal tumis. Ada kalanya, biji petai tidak dikupas dari kulitnya tetapi dipotong bersama kulit seterusnya dimasak. Biji petai juga sesuai dijadikan jeruk dengan cara merendamnya di dalam air garam selama beberapa hari.

Petai juga boleh dijemur sehingga cukup kering untuk disimpan bagi kegunaan di kemudian hari. Setelah kering, goreng atau boleh juga merendamnya di dalam air selama 24 jam, sebelum dimasak mengikut cita rasa.
Sementara bahagian daun dan tangkai bunganya yang muda pula sesuai dimasak atau dimakan sebagai ulam bersama nasi dan sambal belacan.

Bagusnya buah petai ini dipercayai boleh mengurangkan masalah kurang darah atau anemia. Berhadapan dengan simptom tubuh lemah, letih dan kurang bersemangat adalah tanda-tanda awal penyakit berkenaan yang disebabkan kandungan zat besi mulai berkurangan didalam tubuh.

Khasiat Ubatan
 
Biji petai di makan untuk merawat masalah hati, busung, bengkak ginjal, diabetes dan membunuh cacing di dalam perut atau usus. Sementara daunnya pula boleh direbus seterusnya diminum bagi merawat masalah demam kuning. Bahagian kulit akarnya pula dikatakan mampu merawat kencing manis dengan cara merebus kemudian diminum.

Info Lain Tentang Buah Petai

Petai mengandungi bahan anti nutrisi seperti tanin. Kesan ubatnya pula berpunca dari alkaloid tertentu. Selain itu, petai turut mengandungi sumber vitamin A, B dan C. Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa buah petai kaya dengan sukrosa, fruktosa dan glukosa. Ketiga-tiga zat ini merupakan sumber gula semulajadi yang berupaya menghasilkan tenaga segera.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan