Jumaat, 19 Disember 2014

Manfaat Membaca Untuk Kesihatan




Pasti ramai yang menjadikan membaca sebagai hobi. Tidak kiralah buku, majalah, jurnal atau apa sahaja bahan bacaan sekalipun, selagi mendatangkan ilmu maka ia adalah sesuatu yang bermanfaat, malah baik untuk kesihatan.


Melatih Otak

Membaca mampu merangsang sel-sel otak yang tidak diperoleh melalui aktiviti menonton televisyen atau mendengar muzik. Melalui pembacaan, anda kemudiannya akan berimaginasi. Justeru, sekiranya ingin menguatkan sel-sel otak, maka jadikan budaya membaca sebagai amalan.

Mengurangkan tekanan

Membaca adalah satu cara yang paling efektif untuk mengurangkan tekanan. Terdapat satu kajian yang menunjukkan, bahawa membaca boleh merendahkan paras kartisol, denyutan jantung serta ketegangan otot ditubuh.

Menguatkan Daya Ingatan

Sewaktu membaca, otak sebenarnya sedang bekerja untuk memahami jalan cerita, sekaligus berusaha untuk mengingatinya. Situasi ini bolehlah disamakan dengan senaman otak yang mampu meningkatkan kemampuan untuk mengingat.

Awet Muda

Kajian mendapati individu yang rajin membaca atau gemar melatih otak untuk berfikir akan mengalami penurunan kognitif yang lebih lambat berbanding individu yang tidak melakukannya. Bukan setakat itu sahaja, membaca secara teratur juga boleh menghindarkan diri dari terkena penyakit Dementia atau Alzheimer.

Merehatkan Diri

Membaca merupakan satu aktiviti yang mudah dan baik diamalkan. Apabila dilakukan ketika santai, ia sebenarnya memberi terapi ketenangan. Beberapa kajian mendapati individu yang suka membaca buku keagamaan, sebenarnya mereka sedang merawat diri sendiri untuk menurunkan tekanan darah, meningkatkan mood seterusnya mengurangkan tekanan yang dialami.

Meningkatkan Kemampuan Menulis

Selain meningkatkan kosa kata, membaca juga dapat menambahkan tatabahasa, sekaligus menjadikan otak untuk berfikir dengan luar biasa. Pada masa yang sama, ia secara tidak langsung mengasah kemampuan anda untuk menulis secara lebih kreatif lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan