Rabu, 31 Disember 2014

Cungkil Rahsia Ubi Keledek





Keledek merupakan sejenis tumbuhan melata yang sering dijadikan bahan tambahan sama ada ketika membuat kuih, pengat atau hidangan lauk. Rasa lemak dan manisnya membuatkan ianya mempunyai pengikut yang tersendiri.

Dikatakan, tumbuhan ini berasal dari Amerika Tengah dan bahagian utara Amerika Selatan. Pada masa ini, keledek mempunyai taburan yang sangat luas di semua kawasan tropika, subtropika serta di kawasan yang bercuaca panas. 

Untuk menanam keledek hanya gunakan keratan ranting dan tanam di atas batas. Lazimnya di asia tenggara keledek memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan selepas di tanam sebelum ubinya dituai. Bagi keledek yang kerap dipetik pucuk serta daunnya, masa yang diperlukan lebih panjang untuk menghasilkan ubi. Malah, hasil ubi akan berkurangan di samping saiz yang lebih kecil sekiranya pucuk dan daunnya dipetik terlalu kerap.

Khasiat Makanan

Ubi keledek sesuai digoreng , dipanggang, dibakar, direbus, dikukus, kuih muih, dimasak lemak dan macam-macam lagi. Malah, ubi keledek juga sering digunakan sebagai bahan pemekat sos. Sementara pucuk dan daunnya pula boleh dimasak lemak dan sebagainya.

Khasiat Ubatan

Ubinya biasa direbus dan diminum sebagai tonik kesihatan perut, limpa, ginjal, lemah badan selain mengatasi rasa haus ketika demam panas. Sementara itu, bagi ubi keledek yang berwarna unggu pula elok direbus dan diminum airnya bagi merawat masalah diabetes. Kepada individu yang menderita sakit disenteri, sangat sesuai direbus ubi keledek jenis coklat merah.

Bahagian daunnya bolehlah ditumbuk lumat kemudian disapu pada kulit yang melecur serta sendi-sendi yang kaku. Begitu juga bahagian batangnya, ditumbuk kemudian diikat pada tempat yang mengalami sakit reumatisme. Ranting ubi keledek juga sesuai dicampur bahan lain sebelum direbus dan diminum untuk merawat masalah asma. Sementara cecair yang keluar pada ubi pula bolehlah disapu pada bahagian kulit yang terbakar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan